Saturday, February 2, 2019

Pesta Pongal - Garis Panduan

GARIS PANDUAN BAGI MERAIKAN PESTA PONGAL
MENURUT PRINSIP FIQH AL-TA’AYUSH

Disediakan oleh:
Imran bin Selamat
(Ketua Lajnah Kajian dan Penyelidikan Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor)

Merujuk kepada hukum menghadiri dan turut serta dalam pesta Pongal, pihak kami terpanggil untuk mengeluarkan garis panduan berikutan dari persoalan yang diajukan kepada kami oleh para penggiat parti khususnya di negeri Selangor. 

Perkara yang telah difahami dan menjadi amalan bagi ahli PAS ialah hanya menghadiri perayaan atau sambutan yang berbentuk kebudayaan dan tidak menghadiri sebarang perayaan berunsur keagamaan terutamanya upacara peribadatan kecuali majlis keraian umum seperti jamuan dan seumpamanya. 

Pongal adalah termasuk perayaan yang mempunyai unsur keagamaan 

Kami telah meneliti artikel yang dikeluarkan pejabat Mufti Wilayah Persekutuan bertajuk Al-Afkar #39: Muslim Menyertai Pesta Pongal (1). Kami bersetuju bahawa perayaan ini masih mempunyai unsur-unsur keagamaan sebagaimana sambutannya di Malaysia yang menyebabkan timbul kesamaran bagi umat Islam untuk terlibat dan turut serta dalam upacara yang berkaitan dengannya. 

Terdapat larangan terhadap umat Islam untuk menyertainya selari dengan fatwa yang telah dikeluarkan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang Bil. 2/2017 pada 18-19 April 2017 (2) dan Muzakarah Majlis Fatwa Negeri Sabah, Bil. 1/2011 telah bersidang pada 15 – 17 Mei 2011M (3). 

Syarat-syarat orang Islam menghadiri majlis perayaan agama lain

Kami juga meneliti Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-68 yang bersidang pada 12 Apr 2005 telah membincangkan Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam. (4)

Muzakarah ini antara lain mengharuskan orang Islam untuk menghadiri dan turut serta dalam majlis-majlis perayaan agama lain sekiranya: 

1. Majlis tersebut tidak disertakan dengan upacara-upacara yang bertentangan dengan akidah  Islam. 

2. Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang bertentangan dengan syarak. 

3. Majlis tersebut tidak disertakan dengan “perbuatan yang bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam” di negara ini.

4. Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang boleh “menyentuh sensitiviti masyarakat Islam”.    
 
Jika dilihat secara tersiratnya Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam bersetuju membenarkan orang Islam menghadiri perayaan hari kebesaran agama lain tetapi mestilah berhati-hati dan mendapat nasihat para alim ulama sekiranya terdapat perkara-perkara yang meragukan sebelum hadir ke majlis tersebut. (5)

Keperluan menjaga hubungan dengan bukan Islam berdasarkan prinsip Fiqh al-Ta’ayush
Kalimah fiqh al-ta’ayush merujuk kepada suatu ilmu mengenai hukum hakam Syarak berkaitan tatacara kehidupan bersama antara golongan Islam dan bukan Islam dalam keadaan harmoni dan aman berdasarkan kepada hubungan yang wujud pada zaman kontemporari (6).

Kami juga menyedari realiti bahawa kewujudan bersama (co-existence) golongan Islam dan bukan Islam dalam masyarakat Malaysia memerlukan kita menjalani kehidupan dengan saling menghormati kepercayaan masing-masing dalam masa yang sama tidak menjejaskan prinsip semata-mata untuk mendapatkan sokongan politik. 

Oleh yang demikian, kami menyarankan agar semua ahli dan penyokong PAS dapat mengambil manfaat daripada garis panduan ini.   

Garis panduan bagi pemimpin, ahli dan aktivis PAS
Berikut adalah perkara-perkara yang perlu dijadikan sebagai rujukan dan panduan:

1. Bagi menghadiri majlis atau upacara yang mengandungi unsur-unsur peribadatan, pemujaan atau ritual keagamaan dalam sambutan Pongal, maka adalah lebih sesuai diwakilkan kepada ahli-ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP). 

2. Ahli-ahli PAS dan pemimpin masyarakat yang beragama Islam dibolehkan menghadiri jemputan majlis jamuan dan seumpamanya dengan bertujuan untuk beramah mesra bersama kaum India yang menyambut pesta Pongal. 

3. Keharusan ini sekiranya majlis tersebut diadakan di rumah, tempat awam, dewan, padang atau khemah dan bukannya dalam rumah ibadat ketika upacara keagamaan berlangsung. 

4. Tidak menjadi kesalahan untuk menyampaikan ucapan yang sesuai dengan suasana majlis dan bertukar-tukar cenderahati sebagai tanda mengeratkan hubungan kemasyarakatan. 

5. Dibolehkan memakan Nasi Susu (Sakkarai Pongal) sebagaimana harus hukumnya memakan makanan yang dimasak atau disediakan oleh bukan muslim (selain ahli kitab) seperti susu, sayur-sayuran, buah-buahan dan segala macam jenis makanan yang lain kecuali haiwan sembelihan.

6. Anggota Jabatan Amal yang bertugas mengawal lalu lintas dan membantu kelancaran majlis tidak dianggap bersubahat dengan perbuatan ibadat agama lain, sebaliknya yang demikian itu adalah termasuk kerja-kerja kemasyarakatan yang membawa kemaslahatan umum.
 
7. Sebarang peruntukan kewangan atau sumbangan daripada mana-mana pemimpin Islam hendaklah dihulurkan untuk menampung kos-kos berkaitan jamuan, cenderahati, sewaan dan lain-lain yang tiada kaitan dengan peribadatan. 

Dengan ini, kami berharap garis panduan ini dapat memberikan pencerahan dan pemurnian atas persoalan-persoalan yang timbul berhubung keterlibatan ahli-ahli PAS dan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) dalam perayaan agama lain khususnya pesta Pongal.

Wallahu’alam

Nota hujung:
(5) Mohd Rus bin Yunus, Zulfagar bin Mamat (2007), Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam Menurut Perspektif Islam, Jurnal Penyelidikan Islam (JAKIM), Vol.20, hal.93. 
(6) Al-Bakri, Zulkifli bin Mohamad (Dr.), Mufti Wilayah Persekutuan. 

Kredit kepada Utaz Imran Selamat.

No comments:

Post a Comment

Belasungkawa