IBRAH AL-KAHFI: KEPINCANGAN PEMIKIRAN SOFISME.
Ketika membahaskan berkenaan asal-usul kepincangan cara berfikir manusia, Syeikh Abdul Rahman Hasan Habannakah al-Maidani mengaitkan sikap tersebut dengan ayat:
وَيُجَادِلُ الَّذِينَ كَفَرُوا بِالْبَاطِلِ لِيُدْحِضُوا بِهِ الْحَقَّ ۖ وَاتَّخَذُوا آيَاتِي وَمَا أُنذِرُوا هُزُوًا
"Dan golongan yang kufur berdebat dengan cara yang batil agar mereka dapat melenyapkan kebenaran. Dan mereka menganggap ayat-ayat Kami & peringatan-peringatan terhadap mereka sebagai perlekehan" - al-Kahfi 56.
⚫ Kufur Nikmat Berfikir.
Ayat di atas menjelaskan beberapa sikap:
• Golongan yang menyalah-gunakan kepintaran dalam berfikir.
• Gemar berbahas akan perkara yang tidak diketahuinya.
• Menggunakan falasi-falasi batil semata-mata untuk menyembunyikan kebenaran.
• Tidak amanah terhadap ilmu menyebabkan berlaku penyelewengan.
• Memperlekeh prinsip kebenaran.
Lantas dari ayat ini, Syeikh Habannakah menjelaskan betapa metodologi pemikiran Sofisme merupakan sebuah contoh bagaimana sikap manusia, gemar memanfaatkan kepintaran masing-masing demi meraih kepentingan yang dihajati.
⚫ Berfikir Untuk Untung.
Golongan Sofis adalah terdiri dalam kalangan ahli-ahli falsafah kuno Greek, yang suka menggunakan logik secara berbelit-belit. Sikap mereka tidak konsisten berhujah dalam satu-satu premis.
Apabila berdebat dengan golongan Sofis, kebenaran bukanlah keutamaan bagi mereka. Golongan Sofis tidak ada kejujuran dengan prinsip ilmu. Sebaliknya tujuan utama mereka adalah semata-mata untuk meraih kemenangan secara pragmatik dengan retorika-retorika yang membelit.
⚫ Kebenaran Relatif?
Penganut Sofisme amat terkenal dengan doktrin, bahawa kononnya kebenaran itu relatif. Ia dianggap tidak boleh ditentukan. Dalam erti kata lain, kebenaran itu terlalu subjektif.
Mereka amat memerlukan doktrin tersebut untuk mewajarkan gaya penghujahan mereka, agar ia sentiasa secocok dengan kepentingan yang ingin dipertahankan. Hal ini kerana, pandangan-pandangan mereka amat bergantung dengan penaja yang membiayai mereka.
⚫ Bukan Mencari Kebenaran.
Jika semalam yang menaja mereka adalah pihak A, maka mereka akan menggeledah hujah bagi menjustifikasikan bahawa pihak A itu benar. Adapun jika hari ini pihak B pula yang menaja mereka, maka mereka akan menyelongkar hujah bagi mewajarkan kepentingan pihak B.
Bermaksud, hujah-hujah golongan Sofis bukan berdiri di atas hujah ilmu secara konsisten & berintegriti. Sebaliknya mereka, terlebih dahulu memilih sikap yang menguntungkan mereka. Selepas pilihan dibuat, barulah mereka mengolah pelbagai hujah semata-mata untuk mewajarkan kepentingan mereka.
Maka disebabkan itu, golongan Sofis cukup bergantung dengan doktrin kononnya kebenaran itu relatif. Apabila ditanya mengapa pandangan golongan Sofis serba tidak konsisten? Maka mereka akan jawab bahawa kebenaran itu relatif. Kononnya kebenaran itu berubah-ubah statusnya bergantung dengan kepentingan semasa.
⚫ Fitnah Falasi & Retorika.
Allah mengurniakan akal, untuk berfikir bagi mewajarkan kebenaran. Bukan untuk bermain akal bagi mewajarkan kebatilan. Oleh kerana itu, terlalu banyak ayat al-Quran yang mengancam agar jangan menggadaikan kebenaran dengan kebatilan semata-mata untuk kepentingan dunia.
Begitu juga, tidak sedikit hadith-hadith akhir zaman yang mengingatkan bagaimana retorika digunakan untuk menukar paradigma manusia. Hingga benar kelihatan salah & salah kelihatan benar. Begitu juga gejala suka bercakap pada perkara yang tidak diketahuinya, terkait rapat dengan kemunculan golongan Ruwaibidhah yang telah diingatkan oleh Nabi.
Walaupun Sofisme dianggap sebagai aliran pemikiran falsafah kuno, tetapi elemen-elemen gaya berfikir serba pragmatik tersebut masih diamalkan hingga ke hari ini. Bahkan ia merupakan salah satu jelmaan fitnah akhir zaman yang menghasilkan kekeliruan demi kekeliruan.
Abdul Mu'izz Muhammad
8 Febuari 2019.
#RYMAgama #RYM
No comments:
Post a Comment